Thursday, November 4, 2010

PENYELESAIAN TERHADAP KERUNTUHAN INSTITUSI KEKELUARGAAN DI KALANGAN MASYARAKAT ISLAM

  1) Bagaimana Menangani Kesalahan Anak-Anak 

      Ini adalah maklumat dimana contoh bagaimana menangani kesalahan anak-anak. Anak-anak yang dikurniakan kepada pasangan suami isteri adalah suatu amanah daripada Allah SWT. Sebagai amanah, maka suami isteri atau ibu bapa perlu bertanggungjawab untuk mengawasi dan menjaga anak-anak tersebut. Sudah lumrah alam, setiap orang tidak sunyi dari melakukan silap dan salah. Begitu juga dengan anak-anak, kesalahan demi kesalahan biasanya dilakukan oleh mereka pada setiap peringkat umur iaitu sejak kecil hinggalah mereka meningkat dewasa. Jika direnungkan, kesalahan-kesalahan yang dilakukan boleh memberi pengalaman dalam mengenal erti baik dan buruk secara beransur-ansur.

        Namun kesalahan-kesalahan yang dilakukan oleh anak-anak itu kadangkala boleh mencabar kewibawaan ibu bapa. Mereka yang tidak mempunyai sifat sabar dan cekal hati mungkin akan mengenakan hukuman yang berat ke atas anak-anak sehingga ada yang melampaui batas-batas kemanusiaan. Walhal kesalahan yang dilakukan itu boleh jadi tidak disengajakan meskipun ada masanya disengajakan. Kesalahan yang tidak disengajakan mungkin berlaku kerana:

      i) anak-anak belum mengetahui tentang baik buruknya sesuatu perkara.
     ii) mereka tidak pasti perbuatan mereka itu merupakan satu kesalahan.
     iii) fikiran mereka belum matang sepenuhnya.

Maka menyedari hakikat ini ibu bapa perlu membantu dan membimbing anak-anak dengan betul. Nasihatlah mereka dengan baik dan penuh kesopanan. Layanan yang sesuai boleh meyakinkan mereka untuk memperbetulkan keadaan.

       Di samping itu ada pula anak-anak yang sengaja melakukan kesalahan atas dorongan tertentu. Di antara sebab-sebab yang membawa anak-anak sengaja melakukan kesalahan ialah:

     i) Mahu menarik perhatian ibu bapa kerana kesibukan ibu bapa dengan
        tugas seharian boleh menyebabkan terabainya kasih sayang
        terhadap anak-anak.
    ii) Ibu bapa tidak berlaku adil dalam memberi layanan terhadap anak-anak.
    iii) Perasaan tidak puas hati dalam sesuatu perkara.
    iv) Ibu bapa memberi kongkongan yang ketat ke atas pergerakan anak-anak.
    v) Ibu bapa menaruh harapan yang tinggi ke atas kejayaan anak-anak
        menyebabkan anak-anak yang kurang berkemampuan
        mula bersikap negatif.

      Dalam usaha membentuk jiwa anak-anak agar mengikut adab dan peraturan yang ditentukan oleh agama ibu bapa seharusnya menjadikan diri mereka sebagai cermin dan model yang baik kepada anak-anak. Mereka tidak seharusnya bersikap seperti ketam yang menyuruh anaknya berjalan betul, sedangkan ia sendiri masih berjalan tempang. Sungguh mendukacitakan ramai antara ibu bapa pada hari ini yang gagal berbuat demikian. Bahkan dengan selamba melakukan banyak kesalahan di hadapan anak-anak.

      Ibu bapa seharusnya sedar bahawa sifat semula jadi anak-anak ialah suka meniru tabiat orang yang sentiasa bersama mereka terutama dalam lima tahun pertama usia mereka. Ibnu Sina, seorang tokoh islam terkenal mengatakan: "Sudah menjadi tabiat anak-anak bahawa ia suka meniru apa yang dilihatnya dalam masyarakat di sekitarnya, baik atau jelik, ia meniru segala sesuatu mengenai orang yang digaulinya secara tidak sedar sedangkan orang itu tidak pula menyedarinya. Dengan sebab itu, orang yang ditiru hendaklah menjadi pemimpin yang baik hingga tidak meninggalkan kesan yang buruk di dalam jiwa anak-anak yang menirunya.".    

      Selain dari membaiki diri sendiri, ibu bapa juga perlu memikirkan cara-cara yang terbaik bagi menghadapi anak-anak yang melakukan kesalahan. Di antaranya ialah:

        i) mengetahui sedikit sebanyak tentang perkembangan diri anak-anak
           serta memahami tabiat dan sifat-sifat mereka.
       ii) memperkayakan diri dengan pengetahuan tambahan.
          (ini boleh dilakukan dengan pembacaan rencana dan buku-buku
          mengenai pendidikan atau mengikut seminar-seminar pendidikan).

      Dalam proses mendidik  anak-anak ibu bapa tidak seharusnya bersikap kasar dan keras apatah lagi dalam menghukum anak-anak mempunyai jiwa dan perasaan yang halus. Sekiranya mereka dilayan dengan kejam dan keterlaluan, dikhuatiri akan timbul sifat-sifat negatif dalam diri mereka. Sebaliknya ibu bapa seharusnya bersikap lemah lembut dan dengan sopan memperbaiki kesalahan anak-anak kerana kadangkala nasihat dan dorongan itu lebih baik dan berkesan pengaruhnya daripada celaan dan hukuman yang menyakitkan. Ini bukanlah bermakna ibu bapa dilarang langsung daripada menggunakan cara-cara yang tegas dan keras tetapi buatlah pertimbangan yang adil tentang bagaimana sepatutnya tahap kekerasan yang diperlukan bersesuaian  dengan tahap umur dan kematangan mereka. Jika perlu, pukulan hanya dilakukan setelah segala peringatan dan nasihat dibuat. Ibnu Khaldun berpendapat bahawa kekerasan yang dikenakan ke atas anak-anak boleh meningkatkan kesan yang tidak baik. Di antaranya ialah menghilangkan kerajinan, menjadikan anak-anak itu suka berbohong dan lambat laun akan menghilang budi pekerti yang mulia.

      Oleh itu ibu bapa hendaklah sedar bahawa apa jua tindakan yang diambil hendaklah untuk mendidik ke arah kebaikan dan bukannya untuk membalas dendam. Imam al-Ghazali menyarankan supaya setiap anak dilayani dengan layanan yang sesuai dan diselidiki latar belakang kesalahan yang dilakukannya. Harus juga dibezakan antara anak yang kecil dengan anak yang besar dalam menjatuhkan hukuman. Sekiranya anak itu dipukul, pukulan itu pula tidaklah menimbulkan kesakitan, jerit-pekik hingga mereka meraung meminta pertolongan.

      Perlakuan anak yang sering melakukan kesalahan juga harus diawasi selalu malah bagi ibu bapa yang berwibawa, kerlingan mata saja sudah cukup untuk mencegah anak-anak daripada melakukan kesalahan. Ibnu Maskawaih telah membuat satu panduan dalam mendidik kanak-kanak iaitu tentang bagaimana cara mengenakan hukuman kepada anak yang bersalah. Pada pandangannya, kesalahan yang dilakukan untuk kali pertama hendaklah dimaafkan. Kesalahan yang kedua hendaklah dicela secara tidak langsung manakala kesalahan ketiga hendaklah dicela secara langsung. Jika ternyata masih tidak berkesan, maka anak itu hendaklah dipukul dengan pukulan yang ringan.

      Hakikatnya, hukuman yang dikenakan ke atas anak-anak yang bersalah itu memang wajar dilakukan. Tetapi ia hendaklah dijalankan secara bijaksana. Hukuman tersebut bukan sahaja untuk membaiki sikap tetapi juga untuk melindungi anak-anak tersebut daripada dipengaruhi dengan kesalahan yang dilakukannya. Sesuatu hukuman itu pula hendaklah tidak sampai menjatuhkan harga dirinya hingga menimbulkan perasaan rendah diri apabila berada di kalangan anak-anak yang lain.

2) Terperangkap Dalam Salah Laku Seks Bebas  

      "Kami muda lagi, belum puas enjoy, nanti kami taubatlah." Begitulah jawapan salah seorang remaja yang penulis temui. Remaja terbabit mengaku terlibat dalam salah laku seks bebas. Dia langsung tidak menunjukkan rasa kesal, malah berasa bangga dengan perbuatan terkutuknya.

     Sesuatu yang sangat menyedihkan apabila majoriti remaja yang di temu bual tanpa segan-silu menyatakan bahawa mereka sudah mengadakan hubungan seks dengan lebih daripada seorang pasangan dan mengaku mengamalkan seks bebas. Kata mereka, dalam usia sebeginilah semuanya perlu dicuba sebelum menjadi dewasa.

      Menurut Lina,15 tahun, dia bimbang ditertawakan dan dikatakan kolot oleh rakan lain kerana tidak berani mengamalkan seks dengan teman lelakinya. "Memang saya takut mengandung, tapi saya seronok melakukannya (hubungan seks) dengan empat orang teman lelaki saya," katanya.

      Bagi Azhar, 18 tahun , menyatakan bahawa setiap kali bertemu dengan teman wanitanya, mereka pasti mengadakan hubungan seks. "Kami memilih mana-mana sahaja lokasi yang dirasakan bersesuaian. Tidak mengapa, kami masih muda, tengoklah macam mana nanti".

      Salah laku seks bebas dalam kalangan remaja di negara ini memang membimbangkan. Pada 2003, sebuah akhbar arus perdana menyiarkan Laporan Kajian Kesihatan Seksual dan Reproduktif Remaja di Malaysia yang dibuat oleh Kementeriaan Kesihatan Malaysia (KKM) yang mendedahkan bahawa terdapat kanak-kanak seawal usia sembilan tahun di negara ini terjebak dalam hubungan seks dengan teman istimewa masing-masing, ada remaja lelaki termasuk yang masih bersekolah mendakwa melakukan hubungan seks dengan pelacur. Laporan tersebut merupakan hasil penelitian KKM terhadap 260 penyelidikan dan bahan tulisan antara Jun dan September pada tahun berkenaan.

      Kemudian sekumpulan penyelidik dari Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM), pada 2005 membuat kajian tentang masalah sosial dalam kalangan pelajar sekolah menengah dan universiti sekitar Kuala Lumpur. Kajian tersebut melibatkan 300 orang pelajar yang dipilih secara rawak tanpa mengira bangsa. Hasil kajian tersebut menunjukkan bahawa hampir 100 peratus daripada responden menyatakan bahawa mereka terlibat dengan masalah sosial sama ada secara serius ataupun sampingan.

      Baru-baru ini, keadaan kembali "panas" ekoran kajian terbaru oleh UPM yang diketuai Pengarah Pusat Kokurikulum UPM, Profesor Madya Dr.Mohammad Shatar Sabran yang mendedahkan bahawa 85 peratus daripada 300 orang remaja Melayu (berusia antara 15 hingga 25 tahun), di bandar dan luar bandar yang dipilih sebagai responden dalam kajiannya mengaku terbabit dalam salah laku seks bebas sehingga ada yang menggugurkan janin dan membuang bayi.

      Remaja Melayu beragama Islam ini langsung tidak memikirkan soal dosa dan pahala. Mereka bukan sahaja tidak kesal dan malu dengan perbuatan terkutuk mereka, tetapi menganggap pengalaman berkenaan sebagai menyeronokkan. Sedikit sebanyak kajian ini menjawab persoalan mengapa mutakhir kes pembuangan bayi dalam kalangan remaja Melayu begitu banyak dipaparkan di media massa.

-Bagaimana Menyelesaikan Masalah Ini:


      Masalah salah laku seks dalam kalangan remaja menjadi semakin rumit apabila didikan agama tidak lagi boleh dijadikan benteng. Jadi, jalan penyelesaiannya sekarang adalah meningkatkan pengawasan secara berterusan terhadap tingkah laku remaja, tetapi bukan sampai ke tahap mengongkong.

      Ibu bapa jangan menganggap bahawa jika melihat anak remaja mereka mergerjakan solat lima waktu ataupun apabila anak mereka sudah pun mengenakan tudung di kepala, ibu bapa menaruh kepercayaan yang tinggi kepada mereka. "Banyak kes yang di dapati menunjukkan bahawa anak-anak remaja cukup hebat "berlakon" menjadi baik di rumah, tetapi cukup liar apabila berada di luar rumah".

      Anak remaja sering menganggap bahawa bilik mereka merupakan "ruang peribadi" mereka yang tidak boleh sewenang-wenangnya dicerobohi sesiapa. Akibatnya, banyak ibu bapa yang tidak tahu apa-apa yang anak lakukan di dalam bilik tersebut. Masyarakat sudah acap kali mendengar cerita remaja keluar rumah mengikut tingkap biliknya pada waktu malam untuk berfoya-foya dengan rakan-rakan.

      Pendekatan pada zaman dahulu sudah tidak relevan untuk diamalkan pada masa kini. Perbincangan dari masa ke semasa antara ibu bapa dengan anak remaja masing-masing masa perlu menjadi agenda penting dalam keluarga. Perbincangan tersebut pula tidak perlu dalam situasi yang tegang, sebaliknya seharusnya lebih santai, terbuka dan mesra.

      "Remaja suka pandangan mereka di dengar, masalah mereka di fahami, dan bertindak mengikut kesesuaian mereka. Ibu bapa perlu menguasai kemahiran ini".

      Sesetengah ibu bapa tidak mengetahuai keinginan sebenar anak-anak remaja mereka. Jadi, kadang-kadang biarkan anak remaja memilih pendekatan sendiri untuk membuat sebarang pilihan yang mereka mahu. Namun, pilihan anak itu perlulah dipantau atau dikawal oleh ibu bapa agar tidak menjejaskan matlamat asal.

      Remaja memang selesa berdamping bersama rakan sebaya kerana merasakan bahawa mereka memiliki jiwa yang sama dan saling memahami. Lantas, sebarang masalah yang berlaku dikongsi bersama. Lalu, disinilah bermulanya segala konflik apabila kepercayaan terhadap rakan sebaya mengatasi segala-galanya.

      Ekoran itu, ibu bapa harus mengenali rakan-rakan anak mereka. "Sekali-sekali ibu bapa boleh menjemput rakan-rakan anak mereka datang ke rumah untuk jamuan makan dan bersembang-sembang".

      Apabila ibu bapa menunjukkan sikap keterbukaan dengan rakan-rakan anak mereka, hal ini banyak membantu untuk mengawasi pergerakan anak mereka sendiri. "Pastikan rakan-rakan anak menghormati kita dan bukannya membenci kita. Jika mereka (remaja) merasakan kita merupakan 'sebahagian' daripada mereka, mudah untuk kita menasihati mereka".

      Selain itu, keprihatinan masyarakat juga menjadi salah satu elemen penting untuk membendung salah laku seks dalam kalangan remaja. Mengambil contoh komuniti masyarakat terdahulu yang begitu mengambil berat antara satu sama lain, remaja ketika itu berfikir "dua kali" jika mahu melakukan sesuatu kesalahan kerana menyedari tindak-tanduk mereka bukan sahaja dipantau oleh ibu bapa, malah turut mendapat perhatian daripada masyarakat setempat.

      Perkara yang menjadi masalah sekarang apabila banyak orang yang tidak mempedulikan apa-apa yang berlaku di sekeliling mereka. Di kawasan perumahan di bandar sendiri misalnya, banyak orang tidak bercampur gaul dengan jiran tertangga. Malah, mereka menganggap masyarakat yang prihatin hanya menyusahkan mereka kerana dianggap " terlalu menjaga tepi kain orang".

      "Sikap ini yang perlu dikikis kerana sikap tidak ambil peduli masyarakat inilah yang menyebabkan banyak remaja yang tidak segan-silu melakukan perbuatan yang tidak senonoh di tempat awam".

      Dalam pada itu, kerajaan perlu mempertimbangkan untuk menguatkuasakan peraturan yang menghalang remaja di bawah umur 18 tahun keluar rumah selepas pukul 12 malam tanpa diiringi ibu bapa atau penjaga mereka. "Banyak kejadian yang tidak diingini dapat dikurangkan sekiranya peraturan ini diperkenalkan". Jika peraturan ini tidak mampu menyelesaikan masalah ini secara total, setidak-tidaknya ia mampu mengurangkan masalah yang tidak berkesudahan ini.

      Sehingga kini kerajaan masih belum memperkenalkan pendidikan seks di sekolah. Banyak pihak memberikan reaksi yang berbelah-bahagi dengan kerelevanan pendidikan ini di perkenalkan. Kajian demi kajian sudah pun dilakukan, namun sehingga kini usaha untuk menjadikan pendidikan seks ini menjadi realiti masih lagi samar.

      Pendidikan seks tidak perlu diwujudkan di sekolah kerana remaja sendiri sebenarnya mengetahui tentang seks. Pendidikan seks sebenarnya sangat terhad untuk diberi penerangan  kerana merupakan fitrah semulajadi manusia. Jika adapun mungkin lebih berkisar tentang cara memperkenalkan seks secara selamat. " Kita juga tidak tahu siapakah yang benar-benar layak untuk mengajar mata pelajaran berkenaan".

      Sudah tiba masanya semua pihak harus bertindak segera. Janganlah menunggu sehingga masalah ini sukar dibendung lagi. Permantauan berterusan perlu dilakukan tanpa mengongkong anak-anak. Bukan sahaja mengambil tahu kemana anak mereka pergi dan dengan siapa mereka berkawan. Asas didikan agama serta, "pengamalan" didikan tersebut merupakan faktor terpenting untuk membanteras salah laku seks ini tetapi mesti disulami dengan pendekatan pada masa kini.

      Pengaruh luar begitu dominan terhadap remaja. Ibu bapa perlu berhati-hati dengan tidak menaruh sepenuh kepercayaan kepada anak-anak mereka kerana sebarang kemungkinan boleh terjadi!

3) Kesalahan Juvenil Semakin Kronik

      Kesalahan Juvenil semakin kronik dalam kalangan remaja pada hari ini. "Memang menyedihkan melihat kanak-kanak yang masih di peringkat sekolah rendah terlibat dalam kes jenayah juvenil. Kita tidak boleh salahkan satu pihak sahaja, kerana banyak faktor yang mendorong mereka melakukan kegiatan tersebut. Oleh sebab itu , ibu bapa dan guru terutamanya perlu memantau sikap yang ditunjukkan oleh kanak-kanak sejak awal lagi".

      Menurut statistik Jabatan Penjara Malysia, sehingga Disember tahun lalu, sebanyak 1294 orang pesalah juvenil sedang menjalani hukuman. Ketua Perhubungan Awam jabatan itu, Supri Hashim, ketika dihubungi penulis menyatakan sebanyak 478 orang daripada pesalah juvenil ini ditempatkan di empat buah Sekolah Henry Gurney yang terletak di Teluk Emas (Melaka), Batu Gajah (Perak), Kota Kinabalu dan Keningau (Sabah). Manakala selebihnya ditempatkan di dalam penjara mengikut zon, iaitu Zon Utara di Penjara Sungai Petani (Kedah), Zon Tengah di Penjara Kajang (Selangor), Zon Timur di Penjara Marang (Terengganu), dan Zon Selatan di Penjara Simpang Renggam (Johor).

      Seperti juga perangkaan yang diberikan oleh polis, jumlah remaja Melayu yang sedang menjalani hukuman di Sekolah Henry Gurney mahupun di penjara mencatatkan jumlah yang tertinggi - sekitar 70 peratus dan selebihnya ialah remaja Cina, India, dan bangsa lain. Mereka kebanyakannya berasal dari kampung yang pendapatan keluarga di bawah RM1000.

      "Kira-kira 70 peratus mereka yang ada di sini bersekolah dari darjah satu hingga tingkatan tiga, manakala 15 peratus lagi tidak bersekolah, dan selebihnya sekolah menengah atas," jelas Supri. Walaupun berada di dalam penjara, pesalah juvenil ini tetap melalui empat peringkat modul pembangunan insan seperti yang dilalui oleh mereka yang ditempatkan di Sekolah Henry Gurney.

      Peringkat pertama yang perlu dilalui ialah modul pembinaan disiplin selama tiga bulan, peringkat kedua pengukuhan sahsiah selama enam hingga 12 bulan, peringkat ketiga pembinaan kemahiran, dan peringkat keempat, modul kemasyarakatan.

4) Pergaulan Ma'ruf Dalam Institusi Kekeluargaan


- Bagaimana Mengimplementasikan Pergaulan Yang Ma'ruf (Baik)

 i) Menerima isteri sebagai suatu amanah Allah SWT.
    Suami harus menerima keadaan isteri seadanya dan menganggapnya sebagai amanah Allah. Segala perlakuan dan perbuatan si isteri akan dipertanggungjawabkan ke bahu suami sekiranya suami tidak menjalankan amanah itu sebaik mungkin. Firman Allah yang bermaksud: "Wahai orang-orang yang beriman! peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarnya; manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkan-Nya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan." (at-Tahrim :6)

 ii) Sabar
    Marah merupakan satu sifat buruk yang tercela. Ia dikatakan percikan api neraka yang dihembuskan oleh syaitan. Rasulullah SAW," Janganlah kamu marah kerana apabila marah akan terhimpun segala kejahatan."(Ahmad) Sifat marah atau panas baran yang keterlaluan kadangkala boleh mengakibatkan penceraian dan keretakan rumah tangga. Maka seharusnya kedua-dua pihak sama ada suami mahupun isteri perlu membuang sikap ini kerana ia tidak menggambarkan imej pergaulan yang ma'ruf seperti yang dikehendaki oleh Islam. Cuba renungkan kata-kata sahabat Abi Darda' ini kepada isterinya," Apa yang dimaksudkan di sini ialah apabila pasangan dalam keadaan marah seeloknya mendiamkan diri sahaja sehingga kemarahannya reda kemudian barulah diajak berbincang setiap perkara yang perlu diterangkan terutama yang menimbulkan prasangka pasangan kerana tatkala seseorang itu sedang marah syaitan sengaja meluap-luapkan perasaan marahnya itu dan jika berlaku perbalahan (saling bertegang urat atau bertekak) keadaan akan menjadi semakin buruk.

 iii) Memberi nafkah
     Kewajipan yang diperintahkan Allah ke atas suami terhadap isteri dan anak-anak bukanlah suatu bebanan atau tekanan malah diberi ganjaran oleh Allah SWT serta dikira sebagai suatu sedekah sekiranya ikhlas menafkahkan hartanya dari sumber rezeki yang halal. Firman Allah SWT yang bermaksud: "...hendaklah kamu memberi   "Mut'ah" (pemberian sagu hati) kepada mereka (yang diceraikan itu) iaitu suami yang senang (hendaklah memberi sagu hati itu) menurut ukuran kemampuannya; dan suami yang susah pula menurut ukuran kemampuannya, sebagai pemberian sagu hati menurut yang patut, lagi menjadi satu kewajipan atas orang-orang (yang mahu) berbuat kebaikan." (al-Baqarah : 236)

Allah juga telah menjelaskan dalam kitab-Nya bahawa kaum lelaki itu adalah pemimpin dan dilebihkan haknya dari segi harta dan faraid berikutan tanggungjawab mereka memberi nafkah kepada keluarga. Nafkah yang diberikan mengikut kemampuan si suami merupakan antara bentuk pergaulan ma'ruf kerana dia telah menunaikan tanggungjawabnya serta memenuhi hak isterinya.

iv) Tidak Dayus
    Cemburu seorang suami merupakan satu sifat yang sangat dituntut kerana tanpanya seorang suami dikatakan dayus. Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Imam An-Nasa-i, bahawasanya Rasulullah SAW bersabda: "Tiga golongan yang Allah tidak akan pandang pada mereka pada hari kiamat: yang derhaka kepada ibu bapanya, wanita yang menyerupai lelaki, dan lelaki yang dayus. Dayus adalah Bahasa Arab bermaksud lelaki yang tidak menjaga maruah isteri dan anak-anak perempuannya sehingga membiarkan mereka memperagakan tubuh badan mereka kepada orang yang bukan mahram. Dalam hadith lain yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad, orang-orang yang dayus diharamkan memasuki syurga, iaitu mereka yang redha dengan perbuatan keji ahli keluarganya.

Dengan demikian, kita boleh ambil kesimpulan justeru setiap lelaki dan bapa yang membiarkan perbuatan maksiat berterusan dalam ahli keluarganya, redha dan tidak menegurnya, maka lelaki tersebut adalah dayus. Seolah-olah mereka tidak mempunyai sifat cemburu yang dituntut syarak sedangkan sifat ini perlu ada dalam mendidik dan mentarbiyah isteri serta ahli keluarga dari melakukan kemaksiatan. Namun cemburu yang melulu  tanpa pertimbangan akal yang waras atau cemburu buta hendaklah dielakkan kerana ia boleh mengundang keburukan dan keretakan dalam hubungan suami isteri dan ikatan kekeluargaan.
Nabi Daud a.s pernah menasihati anaknya Nabi Sulaiman a.s dengan berkata; " Wahai anak ku, janganlah kamu bersikap cemburu buta terhadap ahli keluarga mu kerana dengannya mengundang keburukan atau memakan diri kamu sendiri..."

v) Tidak mengasari isteri
    Rasulullah SAW adalah qudwah hasanah dalam segenab aspek kehidupan, lebih-lebih lagi baginda dikenali sebagai orang yang paling baik pergaulannya dengan kaum wanita dan ahli keluarga. Justeru, baginda banyak berpesan agar sentiasa berkelakuan baik dan berlemah lembut terhadap kaum wanita. Mengasari wanita secara keterlaluan merupakan satu penindasan dan budaya jahiliyah. Bahkan jika isteri berkelakuan nusyuz terhadap suami sekalipun islam telah menetapkan bahawa jika pukulan terpaksa  dibuat maka pukulan itu hendaklah tidak mencederakan dan menyakitkan si isteri. Demikianlah betapa islam amat prihatin terhadap kaum wanita sehingga memukul juga hendaklah dengan tujuan mendidik bukan untuk sengaja menyakiti dan melepaskan geram. Malah, dalam islam hukuman memukul isteri merupakan jalan terakhir selepas usaha menasihati dan mengasingkan tempat tidur. Sehinggakan hendak bercerai sekali pun, islam menyuruh memilih cara yang paling baik. Firman Allah SWT yang maksudnya :" Talak (yang boleh dirujuk kembali itu hanya) dua kali. Sesudah itu bolehlah ia (rujuk dan) memegang terus (isterinya itu) dengan cara yang sepatutnya atau melepaskan (menceraikannya) dengan cara yang baik" (al-Baqarah : 229)

vi) Tutur kata yang baik dan sopan
     Menuturkan tutur kata yang baik, bersopan santun dan berlemah lembut terhadap pasangan merupakan perbuatan yang amat dituntut oleh islam. Tidak menjadi suatu dosa atau pun keaiban sebenarnya jika seorang suami berbicara dengan isterinya dengan kata-kata yang lembut, sopan dan memanggil dengan panggilan yang mesra apatah lagi memuji si isteri, bahkan hal ini sangat digalakkan demi meneruskan keharmonian rumah tangga.

Islam menganjurkan kepada para suami agar tidak kedekut mengungkap kata-kata manis terhadap isteri kerana fitrah seorang wanita itu selalu inginkan pujian, layanan yang baik lebih-lebih lagi dari seorang suami. Rasulullah SAW sendiri tidak lokek untuk memuji para isterinya, bahkan sikap baginda itu sedikit pun tidak mengurangkan kredibilitinya sebagai seorang rasul. Namun ada segolongan kecil masyarakat kita menganggap bahawa perkara ini akan menjatuhkan martabat seorang lelaki dan menjatuhkan nilai "kejatanan" lantas memperlakukan isteri laksana hamba abdi. Di dalam sebuah hadith, Rasulullah SAW telah melahirkan perasaan benci terhadap suami seperti ini dan bersabda yang bermaksud: "Bagaimanakah seseorang itu memukul isterinya sepertimana dia memukul seekor kuda lalu memeluknya? (Al-Bukhari)

vii) Memberikan hak.
     Salman al-Farisi pernah menasihati Abu Darda' dengan mengatakan:" sesungguhnya Tuhan kamu mempunyai hak ke atas kamu, diri kamu dan ahli keluarga kamu. Maka berilah hak kepada orang yang berhak". Lantas Rasulullah SAW membenarkan kata-kata Salman tatkala mendengarnya.

Demikianlah bagaimana islam tidak mengambaikan hak setiap manusia yang lahir di dunia ini. Di berikan hak semestinya hak itu patut ditunaikan termasuk hak kepada Allah SWT, iaitu melakukan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya. Baginda Rasulullah SAW juga merupakan seorang rasul, imam, ketua angkatan bersenjata, suami dan seorang bapa tetap membahagikan masanya kepada tiga. Iaitu sepertiga untuk Allah, sepertiga untuk urusan ummah dan sepertiga lagi untuk keluarganya. Bagaimana pula halnya dengan kita???

5) Cadangan Untuk Pembaharuan

    - Maksud poligami dari segi bahasa ialah ramai isteri dan dari segi istilah ialah lelaki yang mempunyai isteri lebih dari seorang tetapi tidak melebihi seorang isteri.

    - Maksud taklik penceraian yang berlaku kerana suami telah bertaklik. Taklik ialah perkataan Arab yang memberi maksud (dalam bahasa Melayu) bergantung, tergantung atau bergantungan. Biasanya diterjemahkan sebagai cerai bersyarat. Manakala daripada segi Istilahnya, ialah penceraian yang berlaku kerana suami telah melafazkan talak atau cerai ke atas isteri dengan syarat-syarat peristiwa yang tertentu. Seperti kata suami "apabila saya meninggalkan isteri selama empat bulan tanpa nafkah, dan isteri telah mengadu kepada hakim syarie serta telah membuat bayaran RM1 bagi pihak diri saya, maka jika sabit kesalahan, pada masa itu jatuhlah satu talak khalie".

    - Muta’ah berasal dari kalimah Bahasa Arab iaitu al-Mataa’ ( عاتم ) yang membawa maksud perkara yang menyukakan hati dan boleh dimanfaatkan. Dari segi syarak ialah طورشب ةقرافمل جوزلا ىلع بجي لام Maksudnya pemberian harta yang diwajibkan ke atas suami untuk diserahkan kepada isteri setelah berpisah (bercerai) dengan syarat-syarat tertentu.

- Oleh demikian cadangan untuk pembaharuan masalah-masalah ini telah ditemui:

      Poligami ialah pindaan pada tahun 1994 kepada seksyen 23 Akta ibu telah menjadikannya lebih mudah bagi seseorang lelaki untuk melangsungkan dan mendaftarkan perkahwinan poligami, adalah dicadangkan bahawa sepatutnya diadakan pindaan selanjutnya untuk menjadikannya lebih mudah bagi seseorang perempuan, iaitu isteri sedia ada yang terkilan, untuk menuntut hak-hak kewangannya terhadap suaminya serta juga untuk mempermudahkan penguatkuasaan hak-hak kewangan tersebut, misalnya

  •    - berkenaan dengan nafkahnya;
  •    - Untuk memberikannya hak mendapat sebahagian daripada harta yang telah diperoleh oleh pihak suami sebelum suami itu berkahwin lain. Adalah sangat tidak adil kepada isteri sedia ada yang telah berkahwin dengan suaminya pada masa suami itu berpendapatan agak rendah dan setelah bertungkus-lumus bersama-samanya untuk membolehkan suami itu memperoleh harta, jika selepas pihak suami menjadi kaya, dia mengahwini perempuan lain pula. Islam menekankan keadilan kepada pihak isteri dalam perkahwinan poligami. Malah perkahwinan poligami dalam Islam hanya boleh dibenarkan sekiranya tidak berlaku ketakadilan kepada pihak isteri. Peruntukan undang-undang yang memberikan isteri sedia ada sebahagian daripada harta yang diperoleh oleh pihak suami sebelum dia berkahwin lain akan sekurang-kurangnya mengurangkan ketakadilan dari segi harta benda.


      Manakala syarat-syarat tambahan dalam surat taklik ialah daripada bentuk surat taklik biasa yang disediakan. Yang mengadakan peruntukan untuk pihak isteri menuntut cerai taklik dalam hal-hal ditinggal langsung oleh suami, tidak diberi nafkah oleh suami atau kelakuan zalim pihak suami adalah dicadangkan bahawa sepatutnya diadakan syarat tambahan yang boleh dimasukkan dalam surat taklik sekiranya sesuatu pasangan itu memilih untuk berbuat demikian.  
      Dengan itu, pasangan yang memilih untuk memasukkan syarat dalam surat taklik yang memberikan pihak isteri hak untuk menuntut cerai taklik sekiranya suaminya berpoligami bolehlah dibenarkan berbuat demikian. Syarat sedemikian yang menyekat pihak suami mengahwini perempuan lain selagi masih berkahwin dengan isteri sedia ada adalah dibenarkan dimaksudkan dalam kontrak perkahwinan atas pilihan pasangan individu di beberapa negara Islam yang lain seperti Mesir dan Iran.
      Bagi mengelakkan apa-apa keraguan, adalah juga dicadangkan bahawa semua surat taklik sepatutnya juga menyatakan bahawa isteri yang menuntut perceraian oleh kerana suami melanggar sesuatu dalam surat taklik itu adalah berhak mendapat muta'ah yang berpatutan. Hal ini adalah kerana masih terdapat mereka yang keliru dalam hal ini dan menyangka bahawa suami tidak perlu membayar muta'ah dalam perceraian taklik.

      Selain itu, Muta'ah adalah hak-hak isteri untuk mendapat nafkah dalam tempoh perkahwinan dan nafkah idah, hak untuk mendapat muta'ah patutlah juga ditekankan. Mungkin "muta'ah" sepatutnya tidak diistilahkan  sebagai bayaran "saguhati" (seksyen 56 Akta ibu) - istilah ini mungkin mengelirukan orang awam yang menyangka bahawa ia hanya bayaran sukarela yang dibuat oleh seseorang kepada bekas isterinya, walaupun sebenarnya muta'ah adalah bayaran pampasan yang kena diberi kepada bekas isteri yang telah diceraikan tanpa sebab yang adil dan mencukupi.

Sumber-Sumber Rujukan :

    1)  Artikel Majalah :
  • SINAR ROHANI (Nov-Dis 2008) Pembimbing Ummah
  • Dewan Masyarakat (Ogos 2010) Terperangkap dalam Salah Laku Seks Bebas
  • Dewan Masyarakat (Mac 2006) Kesalahan Juvenil Semakin Kronik
  • SINAR ROHANI (Nov-Dis 2008) Pembimbing Ummah
  • Dewan Masyarakat (Januari 1997) Akta Undang-Undang Keluarga Islam

No comments:

Post a Comment